comscore
Tumpuan :
Sukan

Tanggungjawab semua atlet buru pingat di Paris – Hamidin

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sidang media Lawatan Ketua Kontinjen Dan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia Ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab kini digalas semua atlet yang mengambil bahagian di Sukan Olimpik Paris untuk menyumbang pingat pada temasya yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.

Ketua kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengakui tugasan getir menanti di Paris untuk memastikan kutipan pingat negara dengan ketiadaan sandaran utama khususnya dari sukan terjun.

Menurut Hamidin, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), telah mengadakan perbincangan lanjut susulan kegagalan acara-acara tumpuan melayakkan diri ke sukan Olimpik kali ini.

Situasi tersebut mendorong kontinjen negara menggilap dan mengerah semua yang bertanding nanti melakar kejayaan di carta kedudukan pingat.

“Bagi kami sesiapa sahaja atlet yang layak harus diberi penekanan memenangi pingat, itu yang penting.

“Kami sememangnya mahu mendapatkan kilauan emas yang pertama, dalam masa sama kita juga perlu meraih sebanyak pingat yang boleh,” kata Hamidin

Beliau dan timbalannya Datuk Nicol David pagi tadi  mengadakan sesi lawatan persiapan dua atlet Olimpik  negara,  penerjun Bertrand Rhodict Lises dan Johnathan Wong dari sukan menembak di Bukit Jalil.

Hamidin optimis, angka lima atlet yang telah melayakkan diri ke Paris akan bertambah.

Ini kerana  proses kelayakan beberapa sukan antaranya badminton, basikal, menembak dan angkat berat masih berlangsung.jadual diketahui seawal april ini.

Hamidin turut mengulas  kegagalan atlet terjun Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri  menempah slot ke Paris dan baginya itu bukanlah penamat kepada kedua-dua atlet elit itu.

“Dhabitah dan Pandelela memberitahu, mereka mahu membuat persiapan ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. ia bagus kerana mereka mempunyai mentaliti yang kuat untuk ke sana dan juga terbuka kepada sesiapa sahaja, mereka sebagai atlet senior sudah mengetahui selok belok apa yang perlu dilakukan dan saya fikir mereka boleh mencubanya dalam empat tahun lagi.” kata Hamidin

Pada Temasya Olimpik di Tokyo 2020, kontinjen negara diwakili 30 atlet dan Malaysia hanya mampu  membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini