comscore
Tumpuan :
Sukan

Tarik diri sebab Wooi Yik alami kecederaan di paha – Rexy Mainaky

Foto: BAM

KUALA LUMPUR: Keputusan beregu lelaki utama negara menarik diri di Terbuka Perancis 2023 diputuskan selepas Soh Wooi Yik mengalami kecederaan di bahagian paha kanannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Kata Rexy Wooi Yik mula merasakan kesakitan di bahagian paha ketika separuh akhir Terbuka Denmark minggu lalu.

Bagaimanapun pihaknya mengambil pendekatan menunggu sehingga sebelum perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis, hari ini bagi melihat tahap kecergasannya.

“Semalam selepas latihan, Wooi Yik memaklumkan yang dia merasa sakit di paha yang sudah dirasakannya ketika di separuh akhir Terbuka Denmark namun dia paksa sehingga final dan muncul juara.

“Selepas itu, kami melalui satu perjalanan memenatkan (dari Denmark ke Perancis). Pada sesi latihan keesokan harinya, dia masih merasakan kesakitan di paha dan membuat keputusan mungkin tidak dapat bermain.

“Namun saya mengadakan mesyuarat dengan semua dan buat keputusan untuk melihat (kecederaan) sehingga pagi hari ini. Pagi ini, Wooi Yik membuat keputusan untuk tidak bermain kerana bimbang tahap kecederaan bertambah.

“Jadi, kami buat keputusan untuk menarik diri. Laporan dari pasukan fisioterapi mendapati tahap kecederaannya tidak teruk tetapi kalau dipaksa, mungkin tempoh pemulihannya akan lebih panjang.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya mereka membuat keputusan dan pemain beri keputusan untuk tidak bermain. Ini bagi saya, baik untuk proses pemulihan,” kata Rexy.

Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking ketiga dunia menarik diri sebelum memasuki gelanggang pusingan pertama Terbuka Perancis hari ini sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin mara ke pusingan seterusnya.

Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual menyertai Jepun Masters dari 14 hingga 19 November dan bakal bertemu lawan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin di pusingan pertama.

Loading...
Terkini