comscore
Tumpuan :
Sukan

Tempat ke-11 pencapaian membanggakan buat skuad skuasy lelaki

Skuad skuasy negara yang membawa cabaran pada Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia di New Zealand

KUALA LUMPUR: Skuad skuasy lelaki negara menunjukkan prestasi membanggakan apabila menduduki tempat ke-11 Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia, yang berlangsung dari 11 Disember hingga 17 Disember lalu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata, sebelum ke New Zealand, mencapai kedudukan ke-12 atau lebih tinggi adalah pencapaian membanggakan bagi jaguh skuasy.

“Walaupun hanya menghantar pemain senior, Addeen Idrakie Bakhtiar yang menghadapi kesulitan bermain sebagai pemain nombor satu yang biasanya dipegang Ng Eain Yow, beliau memberikan segala yang terbaik.

“Tiga pemain muda diberi peluang mendapat pendedahan adalah Ameeshan Chandran, Jeeva Sanjay dan Zhafrie Hafiz.

“Jadi, pencapaian tempat ke-11 ini menandakan bukan hanya kesungguhan, tetapi komitmen tinggi daripada mereka dalam permainan skuasy.

“Keazaman dan usaha sepenuh hati yang mereka tunjukkan mencerminkan dedikasi luar biasa dan menyumbang kepada prestasi membanggakan,” katanya.

Beliau berkata, jika dibanding dengan Hong Kong yang juga pemenang pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou dan pasukan lengkap, tetapi sekadar menduduki tempat ke-10, pemain negara masih boleh berbangga dengan pencapaian di tempat ke-11.

Loading...
Terkini