comscore
Tumpuan :
Sukan

Tengku Nasrul sedia sahut cabaran Arul Selvaraj barisi skuad negara di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah

FOTO: Persatuan Hoki Perak

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

IPOH: 10 bulan mengikut skuad hoki kebangsaan menjalani latihan dan persiapan, segalanya nyata berbaloi buat Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abdul Rahim apabila turut berada dalam senarai terakhir 18 pemain ke saingan hoki Piala Sultan Azlan Shah.

Penampilan Tengku Nasrul berjaya menarik perhatian ketua jurulatih, Arul Selvaraj yang kemudian meletakkannya sebagai pelatih bersamaskuad utama kebangsaan.

“Dia memiliki beberapa perkara yang saya suka, memiliki kepantasan, amat baik ketika melihat reaksinya dalam perlawanan persahabatan.

“Saya menghubungi jurulatihnya, Sufian Mohd untuk mendapatkan nombor telefon dan menghubunginya untuk bertanya sama ada dia berminat untuk menjadi pelatih dalam skuad kebangsaan, saya juga dapat bercakap dengan ayahnya tentang perkara ini.

“Dia masih terkejut dengan tawaran ini tetapi bapanya sudah pun memaklumkan bersedia menyerahkan anaknya kepada saya untuk dilatih.

“Dia bekerja keras selama 5 bulan sebagi pelatih sehingga saya membuat keputusan untuk menyenaraikan namanya ke Jelajah Perth.

“Selebihnya adalah sejarah kerana saya turut menyenaraikannya dalam skuad ke Jelajah Eropah dan kini dia berjaya mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan ke saingan Piala Sultan Azlan Shah,” kata Arul.

Tengku Nasrul mendapat ‘cap’ pertamanya bersama skuad kebangsaan selepas beraksi selama 27 minit ketika menentang Australia di Perth, Mei lalu.

Pada siri Jelajah Eropah, Tengku Nasrul mengumpul sebanyak 97 minit selepas beraksi dalam perlawanan menentang Belgium dan Perancis.

Bagi Tengku Nasrul, dia turut terkejut dengan perkembangan dirinya.

“Ia bagai mimpi menjadi realiti, sebelum ini saya hanya bermain di peringkat remaja negeri, kini saya bersama skuad utama kebangsaan hanya dalam tempoh sepuluh bulan.

“Sebelum ini saya terpaksa memilih antara tiga jenis sukan iaitu bola baling, bola sepak dan juga hoki, saya dapat rasakan saya boleh pergi jauh dalam sukan hoki dan saya lega telah membuat keputusan tepat.

“Saya sudah bermain sebanyak lima kali bersama skuad kebangsaan, saya juga suka bermain di posisi serangan tetapi belum dapat menjaringkan gol pertama saya dan berharap dapat melakukannya dalam perlawanan pembukaan menentang Korea, namun itu bukan sasaran utama, yang penting adalah dapat menjalankan tugasan yang diberikan jurulatih, bermain sebagai satu pasukan dan mendapatkan keputusan yang dimahukan,” kata Tengku Nasrul.

Selain Tengku Nasrul, dua pemain muda turut tersenarai dalam skuad Piala Sultan Azlan Shah iaitu Amirul Azahar dan Syafiq Hassan.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah berdepan Korea esok, diikuti Pakistan (2 Nov) dan Afrika Selatan (4 Nov), sebelum bertemu Mesir (5 Nov) dan Jepun (7 Nov).

Loading...
Terkini