comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Malaysia: Aksi pemain negara terhenti di suku akhir

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang pemain Korea, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada PETRONAS Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia di PETRONAS Terbuka Malaysia berakhir selepas wakil terakhir negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumbang di suku akhir, sebentar tadi.

Beregu lelaki nombor satu negara itu terpaksa akur dengan kehebatan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae apabila tewas dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 64 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Aaron-Wooi Yik bermula garang pada aksi set pertama dengan menampilkan permainan agresif untuk mengawal dan memenangi perlawanan 21-16.

Bagaimanapun, set kedua menyaksikan bekas juara dunia itu sedikit hilang fokus yang membolehkan pihak lawan menang 21-18 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

FOTO: NSTP

Aksi set ketiga menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pasangan pada awal permainan namun selepas waktu rehat, Aaron-Wooi Yik dilihat banyak melakukan kesilapan mudah sekali gus membuka ruang buat lawan mengutip mata dan memenangi perlawanan dengan keputusan 21-13.

Kekalahan Aaron-Wooi Yik menyaksikan tiada lagi wakil Malaysia pada edisi kali ini selepas satu lagi beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut tewas di suku akhir selepas tunduk di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Ini adalah edisi kedua berturut-turut Malaysia tidak mempunyai wakil layak beraksi di separuh akhir selepas turut mengalami nasib sama pada edisi tahun lalu dengan pencapaian terbaik menerusi Ee Yi-Yew Sin dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di suku akhir.

Loading...
Terkini