comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Malaysia: Ee Yi-Yew Sin terkandas di suku akhir

Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi ketika menentang pasangan Jepun ,Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Perjuangan beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pada saingan PETRONAS Terbuka Malaysia berakhir selepas tersingkir di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Pasangan negara itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu nombor tujuh dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi suku akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selepas tewas 15-21 di set pertama, Ee Yi-Yew Sin diharapkan bangkit di set kedua untuk sekurang-kurangnya mengheret permainan ke set penentuan.

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila pasangan itu tampil dengan aksi longlai yang membolehkan lawan mengutip mata mudah sekali gus tewas 9-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 34 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Ee Yi-Yew Sin menyamai pencapaian mereka pada edisi tahun lalu selepas turut tersingkir di suku akhir.

“Permulaan permainan hari ini ok tetapi selepas itu mereka berjaya membaca permainan kami.

“Mereka mengawal permainan dengan baik, mahu serang dari bahagian depan pun sukar. Malah, pertahanan kami juga kurang baik hari ini,” kata Yew Sin ketika ditemui selepas tamat permainan.

Sementara itu, Ee Yi mengakui kecewa dengan kekalahan berkenaan kerana merasakan mereka sepatutnya mampu melangkah lebih jauh pada kejohanan kali ini.

“Ini adalah kejohanan Super 1000, bagi saya peringkat suku akhir belum cukup. Kami kecewa dengan permainan kami hari ini tetapi tetap satu permulaan yang baik untuk saingan musim ini,” katanya.

Ee Yi-Yew Sin bagaimanapun berpeluang untuk menebus kekecewaan hari ini apabila dijadual bertemu lawan sama pada pusingan pertama di Terbuka India yang berlangsung minggu depan.

Loading...
Terkini