comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Singapura 2024: Zii Jia tarik diri akibat kecederaan hamstring

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menetapkan sasaran untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris.-FOTO FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Singapura 2024 akibat kecederaan hamstring yang dialami selepas menyertai dua kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Thailand 2024 dan Masters Malaysia 2024.

Ini menyaksikan juara bertahan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia yang dijadual menentang Zii Jia pada pusingan pertama hari ini diberikan kemenangan percuma dan mara ke pusingan kedua untuk bertemu seorang lagi perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao, esok.

TeamLZJ dalam kenyataan di akaun X hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat perubatan, selain memberi tumpuan kepada proses rehabilitasi.

“Ia satu keputusan yang sukar untuk menarik diri dari Terbuka Singapura, tetapi selepas penilaian perubatan di Singapura, Zii Jia dinasihatkan untuk tidak mengambil bahagian kerana kecederaan hamstring yang dialami semasa Terbuka Thailand dan Masters Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terbuka Thailand berlangsung pada 14 hingga 19 Mei lepas diikuti Masters Malaysia pada 21 hingga 26 Mei manakala Terbuka Singapura yang bertaraf Super 750 membuka tirai semalam hingga 2 Jun ini.

Sementara itu beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengambil masa hanya 33 minit untuk menumpaskan B. Sumeeth Reddy-Sikki Reddy dari India, 21-18 dan 21-19.

Juara Masters Malaysia 2024 itu seterusnya akan bertemu pasangan nombor satu dunia Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China pada pusingan kedua, esok.

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Soon Huat-Shevon pernah ditewaskan 11 kali oleh pasangan berkenaan iaitu di Indonesia Masters 2018, Jelajah Dunia Akhir 2018, Masters Indonesia 2019, Terbuka Perancis 2019 dan Terbuka Fuzhou China 2019.

Mereka juga ditumpaskan di Masters Malaysia 2020, Masters Malaysia 2022, Terbuka Denmark 2022, Terbuka Malaysia 2023, Terbuka India 2023 dan Kejohanan Badminton Asia Dubai 2023.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini