comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Singapura: Pearly-Thinaah terkandas di pusingan pertama

Pearly-Thinaah tewas pada pusingan pertama Terbuka Singapura hari ini. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Momentum layak ke separuh akhir Masters Malaysia minggu lalu tidak dapat diteruskan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang ditunjuk jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Singapura, hari ini.

Beregu ranking ke-13 dunia yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak berupaya menyekat kekuatan gandingan nombor tiga dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang mudah mengatasi mereka, 21-10, 21-10.

Sheng Shu-Ning hanya memerlukan tempoh 35 minit di StadiumTertutup Singapura untuk menundukkan Pearly-Thinaah pada pertemuan kelima antara kedua-dua beregu itu dengan rekod kemenangan kini memihak kepada gandingan China itu 3-2.

Saingan di Terbuka Singapura ini adalah pentas penampilan kedua buat Pearly-Thinaah selepas Masters Malaysia dengan sebelum itu mereka tidak menyertai Piala Uber 2024 baru-baru ini bagi memberi ruang persiapan menghadapi Paris 2024.

Terdahulu, Leong Jun Hao mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain ranking ke-28 dunia dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-13, 21-16 manakala beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mengekori jejak pemain perseorangan negara itu dengan menewaskan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-18, 21-13.

Turut melangkah mara adalah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menewaskan rakan seperjuangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-17 dalam tempoh 30 minit untuk mengatur pertemuan dengan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje di pusingan kedua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini