comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Thailand: Zii Jia raih gelaran pertama musim ini

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia meraih gelaran pertamanya musim ini di Jelajah Dunia BWF, sebentar tadi.

Zii Jia yang dalam persiapan ke Paris pada Julai ini, berjaya meraih gelaran pertamanya di Terbuka Thailand selepas menewaskan jaguh Hong Kong, Ng Ka Long Angus 21-11, 21-10 dalam tempoh 34 minit.

Pada set pertama perlawanan, pemain berusia 26 tahun itu dan juga Ka Long saling bertukar mata namun Zii Jia bangkit selepas mata ke-11 sebelum mencatat kemenangan 21-10 dalam tempoh 15 minit.

Beraksi di set kedua, Zii Jia yang menunjukkan corak permainan agresif berjaya menyekat kemaraan Ka Long untuk mencipta kemenangan 21-10 sekali gus menjadikan rekod kemenangan dalam lapan pertemuan antara mereka kini terikat kepada 4-4.

Zii Jia muncul juara di Terbuka Thailand selepas menewaskan jaguh Hong Kong, Ng Ka Long Angus 21-11, 21-10. – FOTO: NSTP

Dengan kemenangan itu, Zii Jia yang meraikan kejayaan dengan jari telunjuk di mulut membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM147,640) manakala Ka Long meraih AS$15,960 (RM74,804) selaku naib juara.

Kemenangan itu pastinya turut menjadi bekalan buat Zii Jia yang pada ketika ini berada di ranking ke-10 dunia untuk mengekalkan momentum beraksi di Masters Malaysia 2024 bermula Selasa ini.

Untuk rekod, kemenangan ini adalah yang kedua buat Zii Jia selepas pernah menjuarai kejohanan sama pada edisi 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini