comscore
Tumpuan :
Sukan

Terengganu hilang pesilat berpotensi

Ahli keluarga Wan Muhammad Haikal berkumpul di Hospital Tuanku Jaafar selepas Allahyarham rebah tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height.- Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Pesilat Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan ketika menyertai pertandingan silat pra-Sukma anjuran Persatuan Silat Negeri Sembilan semalam, satu kehilangan besar buat Terengganu.

“Pemergian permata silat kelahiran Besut itu satu kehilangan yang besar buat kontinjen Sukma Terengganu,”

“Arwah (Wan Muhammad Haikal Wan Hussin) adalah seorang pesilat berpotensi untuk menghadiahkan pingat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) nanti.,” kata Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya.

Pesilat berusia 21 tahun itu yang bakal membawa cabaran Terengganu pada temasya Sukma edisi ke-21 di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos ini disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Negeri Sembilan.

Pesilat yang bakal membuat penampilan pertama pada temasya Sukma itu rebah ketika menyertai pertandingan silat pra-Sukma anjuran Persatuan Silat Negeri Sembilan yang bermula 29 Februari hingga esok.

Allahyarham Wan Muhammad Haikal yang berjaya mara peringkat ke suku akhir kejohanan itu mengalami kecederaan di sebelah kiri dada akibat ditendang pihak lawan ketika pertandingan itu berlangsung sebelum rebah dan tidak sedarkan diri sewaktu kiraan daripada wasit perlawanan.

“Arwah bersama 24 lagi atlet silat Sukma Terengganu menyertai pertandingan itu sebagai persiapan menjelang temasya Sukma yang berbaki kira-kira lima bulan lagi.

“Pihak MSNT mengucapkan takziah buat keluarga arwah lebih-lebih lagi pengorbanan besar untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen Sukma Terengganu,” kata Ahmad Shahrizal ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahrizal menjelaskan segala kos pengurusan termasuk pengangkutan dan pengebumian akan ditanggung oleh pihak MSNT.

“Selain itu, arwah juga turut dilindungi insurans, pihak kami masih menunggu laporan lengkap daripada pihak pengurusan Persatuan Silat Terengganu berhubung kronologi kejadian itu.

“Selepas itu pihak kami akan membuat penilaian dan tindakan susulan berhubung kejadian yang tidak diingini itu, kami juga mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan berhubung kejadian itu,” katanya yang memaklumkan pertandingan itu yang sepatutnya berakhir esok terpaksa dibatalkan susulan kematian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini