Tumpuan :
Sukan

Terjun gagal tambah pingat Universiade

Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil

CHENGDU, CHINA: Hasrat Malaysia untuk menambah pingat di Universiade Chengdu menerusi acara terjun 3 meter papan anjal wanita menerusi Kimberly Bong tidak kesampaian di Pusat Sukan Natatorium dan Kebudayaan Jiangyang petang tadi.

Kimberly yang menyumbang pingat perak bersama Ong Ker Ying pada acara terjun 3 meter papan anjal seirama kelmarin gagal menyerlah pada acara individu itu.

Dia memulakan terjunan pertama apabila mengumpul mata yang ke 10 terendah daripada 12 penerjun iaitu 48.60 mata.

Disebabkan itu Kimberly berdepan kesukaran untuk mengejar penerjun-penerjun lain dan mengubah kedudukan untuk menaiki podium dengan terjunan yang tidak konsisten..

Dia terus melakukan terjunan terburuk pada pusingan ke-empat dengan hanya memungut 32.20 mata untuk turun kedudukan ke-dua terakhir.

Setelah tamat lima terjunan Kimberly hanya mampu mengumpul 238.60 mata dan berada pada kedudukan ke 10 keseluruhan.

Dua penerjun China gah menguasai pingat emas dan perak. Pingat emas milik Yang Ruilin jauh di hadapan mengumpul 364.05 mata. Ini diikuti dengan pingat perak milik Ouyang Yu, 332.15 mata.

Pingat gangsa dimenangi oleh penerjun Amerika Syarikat, Verzyk Sophia Grace yang memperolehi 316.45 mata.

Sekaligus skuad terjun negara yang hanya menghantar dua penerjun muda mencapai kejayaan membanggakan apabila pulang dengan 1 pingat perak di Universiade Chengdu ini.

Loading...
Terkini