comscore
Tumpuan :
Sukan

Tewas tapi PSG tetap juara Ligue 1, Mbappe ucap selamat tinggal

Penyerang PSG, Kylian Mbappe meraikan bersama rakan sepasukannya trofi kejuaraan Ligue 1 Perancis selepas aksi menentang Toulouse di Parc des Princes, Paris awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

PARIS: Bintang Perancis, Kylian Mbappe menyumbat gol pada penampilan terakhir di laman sendiri sebagai pemain Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi tadi tetapi juara Perancis itu mengalami kekalahan mengejut 3-1 kepada Toulouse pada malam mereka menjulang trofi kejuaraan Ligue 1.

Mbappe menyarung lilitan lengan kapten dan membuka tirai jaringan awal menentang Toulouse untuk mengumpul 44 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Bagaimanapun Thijs Dallinga pantas menyamakan kedudukan buat pelawat.

PSG melakukan 10 perubahan pemain berbanding pasukan yang disingkirkan oleh Borussia Dortmund pada separuh akhir Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu, dengan Mbappe satu-satunya pemain yang mengekalkan tempatnya.

Yann Gboho meletakkan Toulouse di depan dengan jaringan menakjubkan pada babak kedua dan Frank Magri melengkapkan kemenangan itu pada masa kecederaan.

Ini kekalahan kedua PSG dalam Ligue 1 musim ini dan yang pertama dalam 27 perlawanan sejak September lalu.

Mbappe kini menyumbat 256 gol bersama PSG, satu rekod kelab sejak menyertai dari Monaco pada 2017 dalam perjanjian yang bernilai 180 juta euro (RM918 juta).

Jumlah gol keseluruhannya 190 jaringan dalam liga utama Perancis – termasuk 16 bersama Monaco pada permulaan kariernya – meletakkannya di tangga ketujuh keseluruhan senarai sepanjang zaman.

Jurulatih Luis Enrique menganggap pemain berusia 25 tahun itu sebagai “seorang legenda kelab” apabila bercakap kepada media.

“Saya mendengar tepukan, penyokong memberinya penghormatan yang sewajarnya, dia adalah legenda kelab walaupun masih muda,” kata Enrique.

Mbappe mengesahkan dalam satu video yang disiar dalam media sosial kelmarin dia akan meninggalkan PSG apabila kontraknya tamat hujung musim ini, menamatkan tujuh tahun beraksi di kelab itu.

Real Madrid dijangka menjadi destinasi berikutnya buat pemain yang mana pemergiannya dari Paris bukan lagi rahsia sejak Februari lalu, apabila dia secara peribadi memaklumkan kepada kelab itu mengenai keinginannya untuk berpindah.

PSG masih boleh menamatkan musim dengan melengkapkan kejuaraan berganda domestik, apabila mereka berdepan Lyon pada final Piala Perancis di Lyon pada 25 Mei ini. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini