comscore
Tumpuan :
Sukan

TFC dan XFOX, batal perjanjian penajaan selepas 48 jam meterai perjanjian

KUALA TERENGGANU: Hanya 48 jam selepas memeterai perjanjian kerjasama dengan XFOX Market Holdings Sdn Bhd, Terengganu FC (TFC) membatalkan penajaan bernilai RM1.5 juta dengan persetujuan tanpa tuntutan daripada kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Mohd Sabri Abas berkata, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama selepas mengambil kira penularan perjanjian penajaan itu sejak kelmarin.

Beliau berkata, usaha untuk memuktamadkan penajaan itu dijalankan mengikut proses sewajarnya namun tohmahan yang tular di media sosial menimbulkan suasana tidak sihat antara kelab, penaja dan penyokong.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan XFOX Market Holdings selepas melihat sendiri operasi syarikat berkenaan dalam pelbagai sektor yang dilihat sesuai dengan TFC.

“Namun, mengambil kira suara kebimbangan penyokong, pembubaran penajaan menjadi kaedah terbaik menyelesaikan isu tanpa sebarang tuntutan daripada kelab dan penaja.

“Susulan pembatalan kerjasama itu, pengurusan TFC akan mengembalikan wang penajaan RM1.5 juta kepada XFOX Market Holdings Sdn Bhd,” katanya dihubungi, hari ini.

TFC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd kelmarin, menandatangani perjanjian persefahaman menyaksikan TFC menerima tajaan RM1.5 juta untuk menghadapi Kejuaraan Kelab Asean, musim ini.

Bagaimanapun, penajaan itu menimbulkan pelbagai reaksi negatif selepas syarikat berteraskan perkongsian keuntungan itu dikatakan berada dalam senarai tidak mematuhi peraturan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mohd Sabri berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan tajaan baharu bagi membantu skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu membuat persiapan ke Kejuaraan Kelab Asean atau Piala Shopee itu.

Katanya, tindakan membatalkan penajaan itu juga lebih kepada menjaga aspek keharmonian kelab untuk mengharungi saingan domestik dan Piala Shopee musim ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini