comscore
Tumpuan :
Sukan

TFC terus kemarau kemenangan

Aksi pemain Perak, Muhammad Firdaus Saiyadi (tengah) dan pemain Terengganu FC, Akram Mahinan (kanan) ketika aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. – FOTO: MFL

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) terus kemarau kemenangan apabila terikat 2-2 dengan Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

Malah, skuad Penyu bernasib baik apabila jaringan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada penghujung permainan menyelamatkan mereka daripada menerima kekalahan keempat dalam liga musim ini.

Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali terlebih dahulu ketinggalan pada minit kesembilan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Luka Milunovic.

Perlawanan sengit dipamerkan kedua-dua pasukan dengan TFC berjaya mengikat kedudukan apabila Nelson Bonilla meledak gol penyamaan seminit sebelum tamat babak pertama.

Kapten Perak, Luciano Guaycochea kemudian kembali meletakkan pasukannya di depan apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-57.

Ketika TFC diambang kekalahan, Nik Muhammad Sharif yang masuk sebagai pemain gantian muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan, juga menerusi sepakan penalti.

Keputusan itu menyaksikan skuad Penyu tidak meraih kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir mereka termasuk enam dalam Liga Super dan dua aksi Kejuaraan Kelab ASEAN.

TFC kekal di kedudukan keempat liga dengan mengumpul 18 mata selepas 13 perlawanan, manakala Perak di tangga keenam dengan 16 mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini