comscore
Tumpuan :
Sukan

Thailand buat Korea terkedu di Seoul

Son Heung Min meletakkan Korea Selatan mendahului Thailand 1-0 menerusi percubaan jarak dekat. FOTO: Reuters

SEOUL: Perlawanan pertama Korea Selatan pada aksi kelayakan Piala Dunia di hadapan penyokong sendiri selepas pemecatan Jurgen Klinsmann, tidak seperti diharapkan.

Ia juga perlawanan pertama sejak pendedahan mengenai pergaduhan antara kapten Son Heung Min dan pemain Paris Saint Germain, Lee Kang In di Piala Asia, di mana Korea Selatan tewas 0-2 kepada Jordan pada aksi separuh akhir.

Kang In bermula dari bangku simpanan dan masuk ke padang sejurus selepas Thailand meraih gol penyamaan.

Suphanat Mueanta menjaringkan gol penyamaan Thailand pada minit ke-61. FOTO: Reuters

Dibimbing jurulatih bawah 23 tahun Hwang Sun Hong yang mengambil alih tugas sementara berikutan pemecatan Klinsmann, tuan rumah mendahului tiga minit sebelum separuh masa berakhir.

Heung Min menjaringkan gol dari jarak dekat untuk meletakkan Korea Selatan dalam laluan kemenangan kelayakan ketiga.

Stadium Piala Dunia Seoul yang berkapasiti 66,000 tempat duduk kemudian senyap pada minit ke-61 apabila Suphanat Mueanta melepaskan rembatan melepasi jangkauan penjaga gol, Jo Hyeon Woo.

Korea Selatan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol kemenangan, tetapi mereka gagal menembusi pertahanan Thailand untuk keputusan muktamad 1-1.

Walaupun seri, Korea Selatan masih berada di landasan untuk mara ke peringkat kelayakan seterusnya apabila masih menduduki tangga teratas Kumpulan ‘C’ dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Manakala Thailand di tangga kedua mengumpul empat mata.

.Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada hari Selasa di Bangkok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini