comscore
Tumpuan :
Sukan

THT, Maybank & TNB berpesta gol

LIGA HOKI MALAYSIA

Oleh Fariz Zolkarnain

BERTAM: Juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 selepas membelasah Nurinsafi Sporting 7-1 di Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas, malam tadi.

Selepas menjuarai Piala Sumbangsih pada aksi pembukaan liga, Khamis lalu, THT nyata berada pada kelas yang tersendiri apabila mendahului 2-0 pada suku pertama menerusi jaringan pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jong-Hyun pada minit kelima dan keenam.

Masuk suku kedua, THT meningkatkan tempo permainan dan hasilnya pelawat menambah dua lagi gol melalui jaringan padang Ismail Abu dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi, minit ke-23 dan 24.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari kemudiannya menjadikan kedudukan 6-0 bersambung suku ketiga selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti dan jaringan padang, minit ke-34 dan 36.

Sekalipun Nurinsafi berjaya merobek gawang THT menerusi pukulan sudut penalti Vinodhan Veeran pada minit ke-48, Mohd Fitri Saari melengkapkan pesta gol pasukan pantai timur itu dengan gol ketujuh, empat minit sebelum tamat masa permainan.

Kemenangan kedua berturut-turut THT itu bagaimanapun masih belum cukup untuk memintas Maybank di persada liga.

Sekalipun berkongsi enam mata, Maybank bukan sahaja berkelebihan dari segi jaringan tetapi turut kekal tanpa bolos selepas mengharungi dua perlawanan.

Pemain berpengalaman, Muhammad Razie Abd Rahim masih menjadi sandaran utama Maybank apabila meledak lima gol untuk menewaskan pendatang baharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 7-0 di Bukit Jalil, malam tadi.

Apapun Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak ketingggalan memberikan tekanan kepada Maybank dan THT selepas melakar kemenangan besar 9-0 ke atas TNB Thunderbolts.

Kemenangan itu menyaksikan TNB mengutip tiga mata pertama sekaligus naik ke tangga ketiga.

Loading...
Terkini