KUALA LUMPUR: Sasaran emas bukan lagi keutamaan buat kontinjen Malaysia yang akan menggalas cabaran di Sukan Asia Hangzhou pada 23 September ini.
Hal ini kerana, kontinjen Malaysia kemungkinan akan menggunakan beberapa kaedah lain antaranya lebih menumpukan kepada sasaran keseluruhan pungutan pingat dan pencapaian wakil negara.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, berkata perkara itu antara salah satu cadangan yang dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk beliau putuskan sebelum mengumumkan sasaran Malaysia di Hangzhou, Isnin ini.
Katanya, pendekatan ini lebih sesuai bagi menilai prestasi keseluruhan atlet negara sebagai satu kontinjen daripada mengukur pencapaian individu menerusi sumbangan pingat emas sahaja.
“Kita sudah mengadakan mesyuarat penetapan pingat semalam atau dua hari lepas sama ada kita mahu umumkan sasaran pingat emas atau meletakkan sasaran pungutan pingat secara keseluruhan.
“Kedua-dua fokus itu sudah diberikan kepada menteri untuk beliau membuat keputusan yang mana lebih sesuai untuk pengumuman pada Isnin ini.
“Yang paling penting adalah pencapaian keseluruhan untuk semua atlet kerana kita mahu dilihat sebagai satu kontinjen yang boleh berikan pungutan pingat yang sesuai dengan saiz kontinjen.
“Kita pun tidak mahu melihat emas ini menjadi topik utama untuk kontinjen negara, tetapi yang penting semua sukan yang kita hantar ada prestasi baik di Sukan Asia,” kata Nazifuddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, hari ini.
Beliau, berkata cadangan itu tiada kaitan dengan kegagalan kontinjen Malaysia yang gagal mencapai sasaran emas di Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.
“Kita perlu asingkan prestasi Sukan Asia dan Sukan SEA sebab Sukan SEA adalah pendedahan, dan kebanyakan mereka bersaing buat pertama kali.
“Tetapi Sukan Asia memang bukan lagi di tahap pendedahan tetapi kita hendak melihat atlet yang bertanding berada dalam ranking yang baik,” tambahnya.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Malaysia yang disertai 417 atlet berjaya mencapai sasaran tujuh emas yang ditetapkan selain meraih 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tangga ke-14 keseluruhan.
Di Hangzhou kali ini, kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Chong Kim Fatt akan dianggotai seramai 289 atlet dan bakal menyertai 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan.
Malaysia akan menyertai akuatik – terjun dan renang, badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), bola keranjang 3×3 (lelaki dan wanita), dragonboat, ekuestrian, gimnastik (artistik dan berirama), hoki (lelaki dan wanita), jujitsu, karate, kabbadi, kriket (lelaki dan wanita), memanah, menembak, e-sukan, go, xiangqi, olahraga, pelayaran, ragbi, skuasy, taekwondo, tinju dan wushu.