comscore
Tumpuan :
Sukan

Tiada maaf buat tiga kelab Liga Super, FFP FIB kenakan denda RM15,000

KUALA LUMPUR: Badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) hari ini mengenakan denda sebanyak RM15,000 ke atas tiga kelab Liga Super kerana kegagalan melengkapkan laporan kewangan.

FFP FIB dalam kenyataan hari ini menjelaskan, kegagalan tiga kelab terbabit melengkapkan laporan disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS).

Badan bebas itu memaklumkan, pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa kedua dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim 2024-2025.

Katanya, daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super, 10 kelab berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.

“Bagaimanapun tiga kelab pula tidak berjaya dalam proses melengkapkan laporan kewangan itu disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS.

“Oleh itu, sekatan perpindahan pemain sebelum jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 sudah dikenakan ke atas kelab terbabit.

“Namun selepas 30 hari sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 dikenakan kepada tiga kelab itu, pihak MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian terhadap tunggakan atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak dan menghantar bukti kepada pihak FIB FFP.

“Maka pihak FIB FFP menjatuhkan denda dengan serta merta sebanyak RM 15,000 kepada kelab terbabit,” kata FFP FIB.

Meskipun tidak dinyatakan kelab mana dalam kenyataan itu, BH Sukan difahamkan kelab terbabit dipercayai Kuala Lumpur (KL) City, Kedah Darul Aman FC dan salah satu kelab dari Pantai Timur.

Selain itu, FFP FIB menjelaskan tiga kelab terbabit perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran untuk tunggakan bayaran gaji (pemain, pegawai dan pentadbiran) dan agensi kerajaan dalam tempoh 30 hari selewat-lewatnya sebelum atau pada 25 Oktober depan.

“Kegagalan, keengganan atau kecuaian tiga kelab ini untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan, maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini