comscore
Tumpuan :
Sukan

Tidak mustahil Sabah FC mampu kejutkan JDT – Datuk Kim Swee

Datuk Ong Kim Swee ketika sedang mengendalikan sesi latihan pasukan Sabah FC di Kota Kinabalu. – Foto: Facebook/ Sabah Football Club

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KOTA KINABALU: Sabah FC mengharapkan sokongan padu terhadap pasukannya apabila membawa misi mencari kelebihan awal ketika menentang jaguh tanah air Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia malam esok.

Ini kerana pengendalinya Datuk Ong Kim Swee benar-benar berharap The Rhinos memanfaatkan kesempatan terbaik yang boleh memudahkan laluan pasukan menempa laluan ke perlawanan akhir.

“Kita takkan bermain dalam separuh akhir setiap tahun, jadi peluang ini adalah peluang terbaik untuk kita mendapatkan keputusan yang positif terutamanya untuk peminat-peminat dan penyokong-penyokong pasukan Sabah yang cukup setia daripada awal musim,” jelas Datuk Ong ketika dihubungi.

Sorakan dan suntikan semangat daripada penyokong tuan rumah di Stadium Likas boleh memberi bekalan tambahan dalam masa sama menggerunkan lawan yang kelihatan berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Sabah FC hanya tewas tipis 1-2 dalam aksi Liga Super sebelum ini di tempat sendiri, sebelum kecundang 0-3 di Stadium Sultan Ibrahim.

Justeru ia boleh menjadi gambaran awal mengenai peluang mereka dalam meneruskan kemaraan ke perlawanan kemuncak Piala Malaysia hujung bulan ini.

“Saya percaya pemain telah mengenalpasti tentang kelemahan, kelemahan kita, apa yang perlu kita lakukan dan kita tahu satu tugasan yang cukup mencabar, namun dalam bola sepak dengan disiplin dengan percaturan yang baik dan saya percaya kita mampu sekurang-kurangnya melangkah, dengan melakar kejutan pada perlawanan malam esok,” luah jurulatih berusia 51 tahun itu.

Datuk Ong turut membawa Sabah FC mara ke peringkat suku akhir tahun lalu sebelum dikecewakan Melaka United dengan agregat 3-1.

Sepak mula pertemuan separuh akhir pertama dijadual 8.15 malam di Kota Kinabalu sebelum aksi timbal balik pada Ahad nanti.

Loading...
Terkini