comscore
Tumpuan :
Sukan

Tiga kejohanan ‘panaskan’ eRacing GP

Naquib Azlan yang bermula sebagai pelumba sukan simulator sebelum ini muncul juara Festival Toyota Gazoo Racing Vios Challenge Rookie 2021 serta kejuaraan kelas Sporting 2022.

KUALA LUMPUR: Royal Selangor dan Axle Sports mengumumkan kerjasama dengan eRacing GP yang kini semakin berkembang dalam sukan lumba simulator di rantau ini serta meneruskan pencarian bakat-bakat baharu di Asia Tenggara.

Untuk tahun ini, eRacing GP dan Royal Selangor menyaksikan kerjasama antara mereka membolehkan penganjuran tiga kejohanan – Edisi Global; Edisi Lumba Pecut (Sprint Edition) dan Edisi Perlumbaan Endurance.

Edisi Global adalah yang popular dalam kalangan pelumba sukan simulator bersaing dalam empat kategori berdasarkan kemahiran yang dipamerkan manakala Edisi Pecut dibahagikan mengikut kelas Profesional dan Amatur.

Bagi Edisi Perlumbaan Endurance pula, ia menampilkan pelumba terbaik di rantau Asia Tenggara dalam persaingan jentera GT3 untuk kejuaraan kelas Profesional dan Profesional-Amatur.

Perlumbaan Edisi Global musim ke-10 berlangsung pada 4 November lalu sementara perlumbaan akhir bagi Edisi Perlumbaan Endurance dan Pecut dijadual pada 10 dan 16 Disember ini.

“Kami amat kagum melihat peningkatan prestasi pelumba dalam saingan eRacing pada saingan kali ini. Mereka yang bermula dari kelas novis pada tahun 2020 kini sudah setaraf dengan kelas premier sementara ramai lagi pelumba sudah membuktikan kebolehan mereka untuk bersaing dalam perlumbaan peringkat antarabangsa.

“Justeru, ia membuktikan bahawa pelumba menggunakan kemahiran dalam sukan lumba simulator dan dipraktikkan sepenuhnya ke arah memenangi perlumbaan yang sebenar,” kata Pengasas eRacing GP dan Axle Sports, Alex Yoong dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun 2020 menyaksikan Naquib Azlan yang bermula sebagai pelumba sukan simulator menjuarai Festival Toyota Gazoo Racing Vios Challenge Rookie 2021 serta kejuaraan Sporting 2022. Mengikut jejak langkah abangnya, Nabil Azlan juga menunjukkan prestasi mengagumkan dengan menjuarai kejuaraan Rookie tahun ini.

Baru-baru ini, eRacing GP diperkenalkan di FIA Motorsport Games di Marseilles, Perancis di mana pelumba berentap mewakili negara masing-masing pada saingan yang dianggap sebagai Olimpik Sukan Permotoran.

Dua pelumba Malaysia, Alister Yoong bersaing dalam kelas KCMG Formula 4 manakala Naquib berlumba bagi kejuaraan Fanatec Esports. Tidak ketinggalan juga, penampilan alumni pelumba eRacing GP iaitu Aleef Hamilton dari Singapura, Philippa Boquida dari Australia dan Presley Martono dari Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Royal Selangor, Yong Yoon Li berkata: “Kami amat berbangga dengan kerjasama yang dibentuk sejak 2019 bersama Axle Sports. Kerjasama ini amat berharga bagi kami untuk meneruskan inisiatif dalam melahirkan dan memupuk semangat kesukanan dalam persekitaran yang kompetitif dan sihat.”

Pemenang bagi setiap kategori eRacing GP akan menerima sebuah trofi yang direka khas oleh Royal Selangor. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini