comscore
Tumpuan :
Sukan

Tiga sukan ‘lubuk emas’ negara tidak dipertandingkan di Glasgow 2026

KUALA LUMPUR: Tiga sukan yang menjadi antara ‘lubuk emas’ Malaysia tidak dipertandingkan di Sukan Komanwel 2026 yang bakal berlangsung di Glasgow, Scotland itu.

Antara sukan yang tidak dipertandingkan pada temasya edisi ke-23 itu adalah badminton, skuasy, terjun serta hoki sekali gus ia bakal menjejaskan peluang kontinjen negara dalam pemburuan pingat.

Terdahulu, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengesahkan secara rasmi Glasgow sebagai bandar tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bermula 23 Julai sehingga 2 Ogos 2026 sekali gus kembali ke bandar itu 12 tahun selepas kejayaan menganjurkan Sukan Komanwel edisi 2014.

Glasgow 2026 akan menyaksikan hanya 10 sukan dipertandingkan di empat venue sekitar radius 12.8 kilometer (km) bagi memastikan jadual yang padat sepanjang hari pertandingan dan menjadikan acara ini mudah diakses serta menarik penonton yang ingin menikmati suasana pelbagai pertandingan sukan.

Sukan Para akan digabungkan sekali dengan enam acara dipertandingkan.

Sukan yang terbabit merangkumi olahraga dan para olahraga (trek & padang), renang dan para renang, gimnastik artistik, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola jaring, angkat berat dan para powerlifting, tinju, judo, boling padang dan boling padang para serta bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3.

Temasya kali ini akan berlangsung di empat venue iaitu Stadium Scotstoun, Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arena Emirates termasuk Velodrom Sir Chris Hoy dan Scottish Event Campus (SEC).

Penginapan untuk atlet dan kakitangan sokongan akan ditempatkan di hotel.

Sebelum ini, Victoria, Australia menarik diri daripada menganjurkan temasya sukan yang berlangsung empat tahun sekali itu dengan alasan peningkatan kos penganjuran.

CGF kemudian menawarkan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah namun pihak kerajaan menolaknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini