Tumpuan :
Sukan

Timor Leste sasar seri menentang Harimau Malaya

Ketua jurulatih Timor Leste, Simon Elissetche pada sidang media sebelum pertemuan dengan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. – FOTO: FAM / Facebook

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Timor Leste, Simon Elissetche menyasarkan satu mata menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok sekalipun sedar pasukannya masih ‘trauma’ selepas dibelasah juara bertahan, Thailand 0-10 pada aksi pertama Kumpulan A Piala AFF 2024, Ahad lalu.

Elissetche berkata, mereka sudah pasti turun dengan apa jua misi untuk melakar keputusan positif dan cuba memberikan saingan ke atas Malaysia yang jelas menjadi pasukan pilihan bagi pertembungan terbabit.

“Sudah tentu kita mahukan kemenangan apabila bermain bola sepak. Tetapi kalau kami mendapat keputusan seri (menentang Malaysia), ini juga adalah satu keputusan yang baik buat kami.

“Kami harap kami dapat berikan perlawanan yang lebih baik (berbanding menentang Thailand) apabila berdepan Malaysia nanti. Jika kami kalah sekalipun, setidak-tidaknya kami sudah memberikan perlawanan yang lebih baik.

“Kami mahu terus berkembang dan kalau kami mendapat satu mata dalam pertandingan ini, ini adalah satu keputusan yang terbaik dan akan membantu kami untuk menjadi bertambah baik pada masa akan datang,” katanya pada sidang media pra perlawanan di SNBJ, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Elissetche turut melihat pasukannya sudah melakukan persiapan dan merangka strategi terbaik untuk berdepan Malaysia selain berharap ‘tragedi’ kekalahan besar di tangan Thailand tidak akan berulang.

“Kami perlu menggunakan momentum seperti ketika berdepan Mongolia dan Brunei sebelum ini dan kami tahu kami adalah pasukan terburuk dalam pertandingan ini.

“Kami sudah melakukan persiapan untuk berdepan Malaysia, kami tahu tuan rumah mempunyai pemain yang bagus. Namun, kami berharap dapat bermain lebih baik berbanding perlawanan pertama yang serba tidak menjadi buat kami.

“Sebenarnya, kami menyertai kejohanan ini tanpa persediaan yang cukup. Kami hanya dapat berlatih beberapa hari di Vietnam sebelum berdepan Thailand dalam perlawanan pertama, jadi kami tidak boleh jangkakan lebih,” katanya.

Aksi kedua Kumpulan A diantara Harimau Malaya menentang Timor Leste akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 9 malam esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini