comscore
Tumpuan :
Sukan

TNB juara baharu Piala Sumbangsih 2024

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menewaskan juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 menerusi penentuan penalti untuk merampas Piala Sumbangsih 2024. FOTO: MHC

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menebus kekecewaan dua tahun berturut-turut apabila mengalahkan juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 menerusi penentuan penalti untuk merampas Piala Sumbangsih 2024 dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 malam tadi.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil berkenaan, TNB menyekat misi THT untuk gelaran hatrik apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh 60 minit perlawanan sebelum diheret ke penentuan penalti.

THT menewaskan TNB dua kali dalam aksi Piala Sumbangsih, masing-masing menang 3-2 pada edisi 2022 dan 4-3, tahun lepas.

Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada awal perlawanan untuk memburu jaringan namun TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti yang dihasilkan Jang Jong Hyun pada minit ketiga.

TNB di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-24 apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak jaringan padang namun THT marapatkan jurang menerusi ledakan jaringan padang yang dicipta Mohd Fitri Saari pada minit sama.

THT di bawah jagaan jurulatih Mohd Harfizi Baharom kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok yang dihasilkan Mohd Fitri pada minit ke-49 dan keputusan kekal 2-2 seterusnya mengheret kepada penentuan penalti.

Keputusan pada aksi pembuka tirai itu memberikan kedua-dua pasukan satu mata untuk misi memburu gelaran liga musim ini.

Dalam pada itu, Nor Saiful Zaini berkata meskipun mampu menyekat misi THT dalam pemburuan hatrik kejuaraan mereka, beliau tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh satu mata untuk memulakan saingan liga musim ini.

“Permulaan yang baik, tapi saya sangat tidak berpuas hati dengan permainan kerana kita memiliki banyak peluang yang kita sia-siakan, percubaan pukulan sudut penalti tidak banyak menghasilkan jaringan… kita sepatutnya perlu menang.

“Dalam perebutan juara liga kita hanya ada tiga pasukan, jadi dengan hanya satu mata akan sukar untuk kita juara,” kata Nor Saiful Zaini.

Sementara itu, Perlawanan Piala Sumbangsih MHL Wanita menyaksikan juara bertahan Negeri Sembilan (NSE) gagal mempertahankan kemenangan apabila ditundukkan Malaysian University 3-0 menerusi penentuan penalti.

Malaysian University sebelum itu berjaya mengikat NSE 2-2 dalam 90 minit perlawanan.
Perlawanan itu menjadikan kedua pasukan NSE dan Malaysian University meraih satu mata pertama untuk memulakankempen liga musim ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini