comscore
Tumpuan :
Sukan

TNB lakar kejuaraan trebel sulung

Pemain TNB menjulang trofi selepas menewaskan THT 4-2 pada perlawanan akhir Liga Hoki Malaysia Piala TNB 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan trebel sulung mereka selepas muncul juara Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2 dalam perlawanan menarik sekali gus melengkapkan kabinet kejuaraan mereka musim ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Dalam pertemuan final ketiga berturut-turut yang menemukan kedua-dua pasukan ini, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi penyerang berbisa mereka Faizal Saari.

Begitupun, TNB kembali menyamakan kedudukan selang 13 minit kemudian menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook kembali meletakkan THT di hadapan pada minit ke-21.

THT tidak berupaya menyekat kemaraan lawan apabila penyerang import TNB dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun kembali menyamakan kedudukan selang seminit kemudian hasil daripada pukulan sudut penalti.

TNB terus memberikan tekanan kepada lawan dan berhasil meledak gol ketiga mereka pada minit ke-33 menerusi Mughni Mohamad Kamal sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memuktamadkan kemenangan TNB pada minit ke-36 menerusi jaringan padang.

Sebelum itu, Maybank menewaskan UiTM HA-KPT untuk mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menamatkan perlawanan yang diheret ke penentuan shoot-out dengan keputusan 2-1.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini