LONDON: Thomas Tuchel dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan England, pengendali ketiga bukan berbangsa Inggeris memegang jawatan itu.
Persatuan Bolasepak Inggeris mengesahkan pelantikan pengendali 51 tahun dari Jerman itu semalam dan Tuchel akan mula bertugas pada Januari bersama-sama pembantunya, Anthony Barry.
“Kami teruja untuk melantik Thomas Tuchel, salah seorang jurulatih terbaik di dunia dan Anthony Barry – salah seorang jurulatih Inggeris terbaik untuk membantunya,” kata Ketua Eksekutif FA Inggeris, Mark Bullingham.
Sven-Goran Eriksson dari Sweden adalah pengendali asing pertama membimbing England, dari tahun 2001 hingga 2006 dan Fabio Capello dari Itali memegang jawatan itu dari tahun 2008 hingga 2012.
Pengendali skuad bawah 21 tahun England, Lee Carsley yang membimbing sementara pasukan senior selepas peletakan jawatan Gareth Southgate susulan kekalahan kepada Sepanyol di final Euro 2024, akan meneruskan tugasnya untuk dua aksi Liga Negara-Negara Eropah akan datang.
Tuchel dan Barry, yang bekerjasama di Chelsea dan Bayern Munich, akan mula bertugas pada 1 Januari, menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
“Saya berbangga diberi kepercayaan membimbing pasukan England. Saya sudah lama mempunyai ikatan peribadi dengan bola sepak di negara ini, dan mengecapi beberapa saat menakjubkan.
“Untuk mewakili England adalah satu penghargaan, dan peluang bekerjasama dengan kumpulan pemain berbakat ini cukup menarik,” kata Tuchel, yang dinobatkan jurulatih terbaik FIFA dan UEFA pada thaun 2021.
Tuchel menggantikan Frank Lampard di Chelsea pada tahun 2021 dan beberapa bulan kemudian membawa mereka menjuarai Liga Juara-Juara Eropah – mengatasi Manchester City kendalian Pep Guardiola di final.
Dia dipecat Chelsea pada tahun 2022 dan dilantik sebagai pengendali Bayern Munich pada Mac 2023 menggantikan Julian Nagelsmann.
Musim penuh pertama Tuchel bersama gergasi Jerman itu cukup mengecewakan apabila Bayern menamatkan Bundesliga di tangga ketiga, di belakang Bayer Leverkusen dan VfB Stuttgart – kali pertama mereka gagal menjuarai liga itu sejak musim 2011-12. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.