comscore
Tumpuan :
Sukan

Tunggakan Gaji: KL City, Kedah perlu serah dokumen penyelesaian minggu depan

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Kedah Darul Aman FC telah diberikan tarikh akhir oleh First Instance Body (FIB) untuk mengemukakan dokumen penyelesaian berhubung tunggakan gaji sebelum akhir minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata KL City sudah menghantar dokumen tertentu untuk penyelesaian baru-baru ini manakala FIB masih menunggu dokumen daripada pasukan Kedah.

“Saya harap pasukan-pasukan ini (KL City dan Kedah) akan patuh kepada apa sahaja yang diputuskan oleh FIB,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Back to School 2024 anjuran MFL dan penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M), AEON BIG di sini semalam.

Jumaat lepas, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Abdul Samad berkata pemain dan jurulatih KL City tidak menerima dua bulan gaji iaitu bagi Oktober dan November musim lepas.

Sementara Kedah dilaporkan berhutang gaji pemain untuk empat bulan sejak musim lepas.

MFL boleh mengambil tindakan punitif seperti pemotongan mata dan menolak lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Super sekiranya masalah itu berterusan.

Sebelum ini, Melaka United FC, Sarawak United FC dan Perak FC dikenakan pemotongan mata sebelum musim bermula.

Sementara itu, Stuart berharap Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) dapat diadakan sebelum musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) bermula Mei ini.

Beliau mengakui masih tidak dapat menganjurkan ABK 2023 susulan beberapa faktor seperti terdapat pemain yang terikat dengan tugasan kebangsaan untuk Piala Asia 2023 di Doha bulan lepas dan kelab-kelab sedang menjalani pramusim ketika ini.

“Percaturan ABK sudah ada tapi perlu ikut kesesuaian dan ketersediaan pemain terbabit…kita akan umum tarikh sesuai tidak lama lagi (sebelum musim baru bermula),” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini