KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail nyata serius dalam memperkuatkan skuad Harimau Malaya apabila mengesahkan enam hingga tujuh pemain warisan sudah dikenal pasti untuk pasukan bola sepak kebangsaan.
Perkembangan itu dikongsikan Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang kepada penstrukturan revolusi Harimau Malaya menerusi laman Instagram miliknya, hari ini.
Malah, lebih menarik apabila bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu turut memuat naik gambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend dan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan.
Turut kelihatan dalam gambar itu adalah legenda bola sepak Australia, Tim Cahill yang juga penasihat Tunku Mahkota Ismail bagi sukan dan hubungan antarabangsa.
Menerusi kenyataannya, Tunku Mahkota Ismail berharap urusan mendapatkan pasport pemain warisan yang sudah dikenal pasti itu dapat diselesaikan dengan cepat bagi membolehkan mereka beraksi untuk Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.
“Kami sudah mengenalpasti enam hingga tujuh pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini.
“Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” tulis Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT.
Sebelum ini, beberapa nama pemain yang didakwa mempunyai pertalian darah dengan Malaysia dicanang untuk menyarung jersi Harimau Malaya terutama kapten Burnley, Josh Brownhill.
Bagaimanapun, tidak semua dakwaan itu boleh dipercayai selepas beberapa daripada mereka termasuk Brownhill tampil menafikan memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
Malah, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini memaklumkan ada ‘calon’ pemain warisan yang tidak tahu mengenai Malaysia, malah ada yang menafikan mereka mempunyai pertalian darah dengan negara ini.
Tunku Mahkota Ismail bagaimanapun menjelaskan pemantauan akan diteruskan dengan lebih luas untuk membawa pemain warisan yang layak menyertai Harimau Malaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.