Tumpuan :
Sukan

Tyson ditawar RM3 billion jika menang aksi ulangan dengan Paul

Mike Tyson (kanan) gagal memberi cabaran kepada Jake Paul dalam pertarungan di Arlington, Texas pada 15 November lalu. – Foto Fail REUTERS

LONDON: Dalam satu tindakan yang mencuri tumpuan dunia sukan, Turki Alalshikh, ketua Lembaga Hiburan Am (GEA) Arab Saudi menawarkan peninju legenda Mike Tyson AS$700 juta (RM3.09 bilion) jika dia mengalahkan Jake Paul dalam pertarungan ulangan.

Cabaran itu hadir selepas pertarungan kontroversi bulan lalu antara Tyson dan Paul di Stadium AT&T, Arlington, Texas yang menyebabkan ramai peminat kecewa dengan keputusannya.

Tawaran Alalshikh menyerlahkan pengaruh Arab Saudi yang semakin meningkat dalam sukan global, terutamanya bagi acara berprofil tinggi yang membabitkan tokoh selebriti.

Alalshikh, penasihat terkemuka Mahkamah Diraja Saudi, memainkan peranan penting dalam menganjurkan acara sukan utama, termasuk konsert antarabangsa dan perlawanan tinju.

Cadangannya terhadap Tyson adalah sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk menarik perhatian kepada peranan Arab Saudi dalam membentuk landskap sukan antarabangsa.

Tyson, yang menerima AS$20 juta (RM88.3 juta) daripada pertarungan awalnya dengan Paul, kini berdepan prospek menjadi seorang daripada peninju paling kaya dalam sejarah jika dia menyahut cabaran Alalshikh.

Kerabat diraja Arab Saudi itu berjanji menganugerahkan AS$700 juta kepada Tyson, bergantung kepada kemenangannya dalam pertarungan ulangan yang perlu diakhiri dengan pukulan kalah mati (KO) dalam masa tiga minit.

Komen Alalshikh mengenai pertarungan itu didedahkan: “Jake Paul adalah satu gurauan. Saya memberi Mike Tyson AS$700 juta jika dia bersetuju untuk melawan Paul kali ini dalam pertarungan sebenar dan menang dengan KO dalam tempoh maksimum 3 minit.” – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini