comscore
Tumpuan :
Sukan

Tze Yong mula jalani latihan ringan

FOTO: Ihsan BAM

KUALA LUMPUR: Ng Tze Yong sudah mula menjalani latihan ringan bersama kem kebangsaan.

Menurut Tze Yong, dia sudah mula menyertai kembali kem latihan pada minggu lalu selain mengakui kesakitan dirasainya sebelum ini sudah semakin baik.

Tze Yong, pemain ranking ke-14 dunia,  terpaksa menarik diri di pusingan pertama Terbuka Malaysia dua minggu lalu, selepas mengalami kecederaan otot tulang belakang.

“Saya tak berlatih secara penuh lagi. Jadi belum merasainya lagi dan tak tahu sama ada sembuh sepenuhnya lagi ataupun tidak. Minggu lalu, saya hanya menjalani latihan skil ringan sahaja dan sejak semalam, ada sedikit perbezaan,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Pemain berusia 24 itu menjalani sesi latihan bersama jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Tey Seu Bock dengan program latihan mengikuti had proses pemulihan.

“Tadi ketika berlatih, saya tak rasa sakit kerana mengikuti program latihan sudah ditetapkan,” kata Tze Yong yang berkemungkinan akan kembali beraksi di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini.

Sementara itu, Seu Bock berkata, proses pemulihan Tze Yong memerlukan tempoh dua sehingga tiga minggu untuk pulih sepenuhnya.

“Dia masih dalam proses pemulihan dan itu fokus kita. Di setiap pagi, dia datang untuk buat pemulihan dan selepas itu berlatih tetapi pergerakannya dihadkan, tak boleh secara penuh. Kita kena mengikuti proses pemulihannya.

“Dia memerlukan tempoh dua ke tiga minggu. Sakitnya sudah berkurang tetapi kita tak mahu buat sesuatu sehingga sakitnya kembali. Sekarang ini, belum pulih sepenuhnya dan kalau dipaksa, ia bukan sesuatu yang bagus,” kata Seu Bock.

Loading...
Terkini