comscore
Tumpuan :
Sukan

Tze Yong teruskan kemaraan di Terbuka Switzerland

Ng Tze Yong berjaya ‘menghantar pulang’ rakan senegara, Soong Joo Ven untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Switzerland, awal pagi tadi. – FOTO: Facebook/Badminton Association of Malaysia (BAM)

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berdepan detik cemas sebelum berjaya ‘menghantar pulang’ rakan senegara, Soong Joo Ven untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Switzerland, awal pagi tadi.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di St Jackobshalle di Basel itu, Tze Yong diberi tentangan sengit oleh Joo Ven yang berjaya mengheret permainan hingga set penentuan.

Tze Yong tewas 23-25 di set pertama sebelum bangkit memenangi set kedua 21-17 dan dinobatkan sebagai pemenang selepas Joo Ven terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 4-13 di set ketiga susulan masalah kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan Tze Yong menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain negara, Cheam June Wei yang melangkah ke pusingan kedua menerusi kemenangan ke atas ‘jurulatih Lee Zii Jia’, Liew Daren 21-14, 21-13.

Minggu lalu, Tze Yong mencipta sensasi apabila menumbangkan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua Seluruh England sebelum langkahnya terhenti di suku akhir selepas tewas di tangan Li Shi Feng dari China yang kemudian bergelar juara.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Denmark, Line Hojmark Kjaersf 12-21, 21-17, 21-13 dan akan bertemu pilihan keenam dari Thailand, Pornpawee Chochuwong bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke kelompok 16 terbaik selepas tidak berdepan masalah menundukkan wakil tuan rumah, Nicola A Mueller-Ronja Stern 21-11, 21-13 dan pasangan China, He Ji Ting-Du Yue.

Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie kembali bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke pusingan kedua selepas mengatasi pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 13-21, 21-15, 22-20 dan bertemu beregu Taiwan, Chiu Hsing Chieh-Lin Xiao Min.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi empat lagi wakil negara iaitu perseorangan wanita, S Kisona serta tiga beregu campuran, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Loading...
Terkini