Tumpuan :
Sukan

UCL: Liverpool kekal rekod 100 peratus, terus bertakhta di puncak liga

Bintang Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Lille di Anfield, Liverpool. – Foto REUTERS

LIVERPOOL: Liverpool mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan Lille 2-1 di Anfield, hasil jaringan Mohamed Salah dan pemain gantian Harvey Elliott.

Skuad kendalian Arne Slot mengekal rekod 100 peratus dan mendahului liga 36 pasukan dengan 21 mata, tiga di depan Barcelona yang menghuni tangga kedua dan berbaki satu perlawanan di peringkat liga. Lille di tangga ke-11 pada 13 mata.

Salah menjaringkan gol Eropah ke-50nya untuk Liverpool pada minit ke-34 apabila dia berlari mendapatkan hantaran jauh Curtis Jones selepas Kostas Tsimikas memenangi bola dalam kawasan The Reds, dan kemudian melencongkan bola melepasi penjaga gol, Lucas Chevalier.

“Kami mendapat bola dan Curtis memainkan bola dengan cukup baik dan akhirnya saya berjaya menjaringkan gol,” kata Salah.

Walaupun terpaksa bermain 10 orang apabila Aissa Mandi dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-59 kerana mengasari Luis Diaz, Jonathan David menyamakan kedudukan untuk Lille tiga minit kemudian.

Ia adalah jaringan kelima David dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini dan gol kedua membolosi gawang Liverpool setakat ini, dengan yang pertama ketika aksi pembukaan di AC Milan.

Liverpool kembali mendahului apabila sepakan sudut ditanduk ke luar kotak penalti dan Elliott melepaskan rembatan untuk membolosi gawang Lille pada minit ke-67.

Darwin Nunez turut menjaringkan gol untuk Liverpool sebelum masa kecederaan, tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Liverpool akan bertandang ke PSV Eindhoven untuk perlawanan terakhir peringkat liga pada 29 Januari ini.- REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini