BRATISLAVA: Ilkay Gundogan, Phil Foden, Erling Haaland dan James McAtee menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 Manchester City ke atas Slovan Bratislava di saingan Liga Juara-Juara Eropah.
City, juara edisi 2023, mengumpul empat mata selepas dua perlawanan selepas seri 0-0 pada perlawanan pembukaan menentang Inter Milan di Etihad.
Slovan tewas buat kali kedua berturut-turut selepas dibelasah 5-1 oleh Celtic dalam aksi sebelum ini.
Juara Liga Perdana Inggeris itu menguasai permainan dan Gundogan membuka jaringan pada minit kelapan untuk gol pertamanya sejak kembali dari Barcelona.
Foden, yang meledak 27 gol dalam semua pertandingan musim lalu, menambah jaringan untuk gol pertamanya musim ini pada minit ke-15, hasil hantaran Jeremy Doku.
Haaland menjaringkan gol ke-42nya dalam saingan tertinggi Eropah itu pada minit ke-58, mengutip hantaran Rico Lewis sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah, Dominik Takac.
Penyerang Norway itu, yang sudah meledak 11 gol musim ini, dikeluarkan oleh pengendali, Pep Guardiola dua minit kemudian.
Foden kemudian membantu jaringan McAtee yang meledak gol pertamanya untuk City pada minit ke-74.
Sepanjang permainan, City melakukan 28 percubaan, 14 daripadanya tepat ke arah gol, termasuk tiga yang terkena tiang.
Takac beraksi cemerlang menafikan City daripada menambah jaringan di minit-minit akhir, termasuk rembatan Gundogan dan John Stones. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa