BIRMINGHAM: Aston Villa mencatat tiga kemenangan tanpa bolos dalam saingan pertamanya di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas 41 tahun, tetapi Unai Emery tidak mahu peminat mula menanam impian tinggi.
Skuad kendaliannya menewaskan Bologna 2-0 di Villa Park hasil jaringan babak kedua John McGinn dan Jhon Duran untuk menghuni tangga teratas liga 36 pasukan – kedudukan yang di luar jangkaan sebelum kempen bermula.
“Sekiranya kami mengekalkan persembahan sebegini dan terus mengutip mata, sudah tentu kami boleh mengubah objektif dan berada dalam kelompok lapan terbaik.
“Tetapi saya mahu mengharunginya seperti perkara yang biasa kami lakukan, bukan satu kejutan, kerana kami bermain dengan baik. Kami konsisten dan mengutip mata untuk berada di kedudukan selesa,” kata Emery.
Lapan pasukan terbaik akan layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir, manakala 16 lagi bersaing dalam aksi timbal balik play-off untuk menyertai mereka di peringkat kalah mati.
Villa satu-satunya pasukan yang menang ketiga-tiga perlawanan dengan kemenangan bersih setakat ini, dan sembilan lagi perlawanan akan berlangsung malam ini.
Ketika ditanya berkenaan gawangnya yang tidak dibolosi, Emery berkata: “Saya gembira untuk (penjaga gol) Emiliano Martinez. Dia bekerja keras untuk tidak dibolosi.” – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.