comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Ulat Online’ jual tiket final Liga Juara-Juara setinggi RM800,000

Final Liga Juara-Juara musim ini kembali ke Stadium Wembley di London namun ulat tiket menjual dengan harga melampau di atas talian. – Foto uefa.com

LONDON: Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berikrar untuk membanteras penipuan jualan tiket atas talian apabila didapati beberapa kerusi bagi perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Wembley Sabtu depan dijual dengan harga £134,000 (RM804,000).

Mail Sport mendapati satu laman sesawang jualan semula, footballticketnet.com, menawarkan ‘tiket perdana’ bagi pertembungan antara Real Madrid dan Borussia Dortmund dengan harga melampau £100,000 (RM600,000) tidak termasuk bayaran tempahan £34,000 (RM204,000).

Laman sesawang sama menyenaraikan satu tiket ‘VIP’ dengan harga £100,500 (RM603,000) termasuk bayaran tempahan.

Satu lagi laman sesawang jualan semula tidak sah, livefootballtickets.com, menjual tiket hospitaliti ‘Skybox’ dengan harga keseluruhan £34,255 (RM205,600).

Ulat tiket turut cuba membuat duit bagi perlawanan di Wembley hujung minggu ini – final Piala FA Sabtu ini dan final play-off Liga Kejuaraan hari berikutnya.

Bagi pertembungan musuh tetangga Manchester Sabtu ini, kerusi ahli Bobby Moore semalam ditawarkan di footballticketnet.com dengan harga £13,400 (RM80,400) – £10,000 (RM60,000) selain bayaran tempahan £3,400 (RM20,400).

Di laman sesawang sama, sesetengah tiket tanpa hospitaliti dijual sehingga £5,025 (RM30,100), hampir 35 kali ganda harga sebenar £145 (RM870) bagi kerusi kategori satu.

Penjualan tiket bola sepak tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang UK dan pihak berkuasa berjanji untuk bertindak selepas dimaklumkan mengenai situasi itu oleh Mail Sport.

Seorang jurucakap FA berkata: “Kami menasihatkan peminat supaya hanya membeli tiket untuk acara di Stadium Wembley menerusi saluran rasmi.

“Sesiapa yang didapati membeli tiket di pasaran sekunder berisiko tidak dibenarkan masuk ke stadium. Kami juga berusaha sedaya upaya untuk mengesan dan membatalkan tiket yang disenaraikan untuk dijual di mana-mana saluran tidak rasmi.”

Seorang jurucakap UEFA pula berkata: “Semua pemegang tiket terikat dengan terma dan syarat tiket dan UEFA akan mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.

“UEFA menggesa semua peminat bola sepak untuk mengelak daripada membeli tiket atau pakej hospitaliti daripada penjual, ejen atau laman sesawang yang tidak dibenarkan, kerana tiket itu mungkin palsu atau tidak sah dan pembeli yang tidak sedar mungkin dihalang masuk ke stadium.” – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini