Tumpuan :
Sukan

Ungguli GP Brazil, kemenangan ke-52 untuk karier Verstappen

Pemandu Red Bull, Max Verstappen meraikan kemenangan di podium dengan memperagakan trofi dimenanginya pada Grand Prix Brazil di litar Interlagos, Sao Paulo awal pagi tadi. – FOTO : Reuters

SAO PAULO: Max Verstappen meraih kemenangan ke-17 dalam musim penuh rekod awal pagi tadi, untuk mengungguli perlumbaan Grand Prix Brazil yang dipenuhi kemalangan dan insiden.

Juara dunia tiga kali dari Red Bull itu melintasi garisan penamat 8.277 saat di depan pemandu McLaren, Lando Norris dalam cuaca panas di litar Interlagos.

Fernando Alonso meraih tangga ketiga buat Aston Martin dengan perbezaan hanya 0.053s berbanding Sergio Perez dalam jentera kedua Red Bull.

Alonso dan Perez mencetus suasana mendebarkan di akhir perlumbaan ketika mereka bersaing hebat pada pusingan terakhir sebelum pemandu Sepanyol itu merampas semula kedudukan podium dan mengekang pemandu Mexico itu ketika mereka disorak hebat melintasi garisan penamat.

Lance Stroll berakhir di tangga kelima dalam jentera kedua Aston Martin di depan Carlos Sainz dari Ferrari, yang mana rakan sepasukannya Charles Leclerc terkeluar ketika pusingan pemanas badan, dan Pierre Gasly dari Alpine.

Pemandu Mercedes yang juga juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menghuni tangga kelapan apabila bergelut dengan masalah tayar di depan pemandu Alpha Tauri, Yuki Tsunoda dan Esteban Ocon dalam jentera kedua Alpine.

Bagi Verstappen, ia kemenangan ke-52 sepanjang kariernya, melonjakkannya mengatasi juara dunia empat kali Alain Prost dalam senarai pemenang terbanyak sepanjang zaman.

“Ia terlalu bagus,” kata Verstappen. “Satu percaturan perlumbaan yang bagus oleh pasukan, hentian pit yang sempurna dan saya fikir dilakukan dengan baik. Saya mempunyai dua permulaan bagus yang amat penting dan kemudian menangani keadaan tayar.”

Bagi Norris ia podium ketujuhnya tahun ini dan ke-13 sepanjang kariernya, paling banyak oleh mana-mana pemandu yang tidak pernah memenangi sebarang perlumbaan.

Alonso mengatasi Perez selepas kedua-duanya saling bertukar kedudukan dalam beberapa pusingan terakhir.

“Ia bagaikan tekanan 30 pusingan daripada Checo! Apabila dia memintas saya dua pusingan sebelum tamat, saya fikir podium tidak mungkin mampu dicapai, tetapi saya berjaya mendapatnya semula,” kata pemandu veteran dari Sepanyol itu. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini