LAS VEGAS: Max Verstappen merangkul kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali keempat berturut-turut selepas mendahului carta pendahulu dengan 403 mata, berbaki dua lagi pusingan perlumbaan selepas ini.
Pelumba Red Bull berusia 27 tahun itu melintasi garisan penamat di tangga kelima pada perlumbaan Grand Prix (GP) Las Vegas, sekali gus muncul pelumba keenam selepas Michael Schumacher, Lewis Hamilton, Juan Manuel Fangio, Sebastian Vettel dan Alain Prost memenangi empat kejuaraan.
Ketenangan Verstappen mempertahankan gelarannya dibayangi malam sempurna oleh pelumba Mercedes, George Russell yang merakam kemenangan keduanya musim ini.
Russell menamatkan saingan dengan catatan 7.313 saat lebih pantas berbanding juara tujuh kali, Hamilton yang bermula dari petak ke-10 dan Carlos Sainz melengkapkan podium mengatasi rakan sepasukan, Charles Leclerc.
Lando Norris yang perlu memintas Verstappen dengan tiga mata untuk menghidupkan peluang kejuaraan mendapat mata tambahan untuk catatan sepusingan sepantas namun itu tidak cukup untuk menafikan Verstappen.
Tujuh kemenangan dalam 10 perlumbaan pertama memacu Verstappen untuk gelaran ini namun dia bergelut pada pertengahan musim selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam 10 perlumbaan sebelum kemenangan di Brazil membawa dia selangkah untuk kejuaraan dunia.
“Ini adalah musim yang panjang. Ia bermula dengan sangat baik, semuanya berjalan lancar tetapi kemudiannya, kita berdepan cabaran sukar tetapi kita dapat mengharunginya bersama.
“Pada usia 17 tahun, saya hanya gembira untuk berada di sini dan terus belajar, tanpa memikirkan mengenai perkara ini (juara dunia).
“Jadi, untuk berdiri di sini sebagai juara dunia empat kali, ia sangat menakjubkan.
“Ini musim yang sangat kompetitif dan mencabar. Banyak perkara yag saya pelajari dan kita menghadapinya dengan baik sebagai satu pasukan. Musim yang istimewa dan musim yang indah,” katanya.
Sekalipun tiada lagi pencabar yang mampu mengatasi Verstappen selepas ini, saingan F1 akan tetap diteruskan berbaki dua lagi perlumbaan di GP Qatar dan GP Abu Dhabi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.