Tumpuan :
Sukan

Vicente kecewa, tuntut Harimau Malaya bangkit

Penyerang muda negara, Fergus Tierney meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Kemboja. – FOTO: FAM / Facebook

KUALA LUMPUR: Peluang Harimau Malaya merebut tiket ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 tetap terbuka luas meskipun terikat 2-2 dengan Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, semalam.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui kecewa apabila pasukannya gagal meraih kemenangan berdepan pasukan ranking 180 dunia itu dalam aksi sulung Kumpulan A.

Pengendali dari Sepanyol itu bagaimanapun menjelaskan bahawa perjalanan Harimau Malaya masih jauh dan pasukannya perlu bangkit dalam perlawanan akan datang bermula aksi menentang Timor Leste, Rabu ini.

“Saya tidak boleh merungut mengenai bagaimana kami bermain dan komitmen yang pemain berikan. Namun, kami kecewa kerana selepas mendahului 1-0 dalam 15 minit awal babak kedua kami melepaskan dua gol.

“Kami melepaskan gol sekali lagi menerusi ‘set piece’ dalam dua perlawanan berturut-turut dan ia perlu diperbaiki. Ini perlawanan pertama, masih ada tiga perlawanan lagi, jadi ia masih panjang.

“Sekarang kami ada tempoh dua hari untuk melakukan persiapan bagi aksi seterusnya. Itu (layak ke separuh akhir) sasaran kami dan kami mahu memenangi setiap perlawanan. Namun, kadang-kadang ia tidak berlaku,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya berada di kedudukan ketiga kumpulan, berkongsi satu mata dengan Kemboja yang menghuni tangga kedua.

Juara bertahan, Thailand memimpin kumpulan dengan mengumpul tiga mata selepas membelasah Timor Leste 10-0 manakala Singapura masih belum mengharungi sebarang perlawanan.

Malaysia yang menghuni kedudukan ke-132 dunia seterusnya akan melayan kunjungan pasukan ranking 196, Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Thailand di Bangkok, Sabtu ini dan berdepan Singapura di tempat sendiri (20 Disember).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini