KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente enggan menyalahkan mana-mana pemain atas kekalahan 0-1 kepada Thailand pada aksi ketiga Kumpulan A Piala AFF 2024 di Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam.
Gol tunggal juara bertahan itu hadir berpunca daripada kesilapan penjaga gol negara, Haziq Nadzli sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan berdepan laluan berliku dalam misi mencari slot ke separuh akhir.
Kegagalan Haziq mengeluarkan bola pada minit ke-57 menyebabkan bola ‘tersangkut’ di kaki Suphanat Mueantadan yang kemudiannya melakukan hantaran kepada Patrik Gustavsson untuk menyempurnakannya gol kemenangan.
Bagaimanapun, Vicente mengharapkan sokongan akan terus diberikan kepada Haziq yang kini beraksi bersama Perak FC supaya dapat melupakan ‘tragedi’ itu dan bangkit untuk aksi seterusnya.
“Kita tidak layak mendapat keputusan ini tetapi inilah bola sepak. Kita menyerang dan bertahan dengan baik tetapi kita dihukum dengan satu kesilapan daripada penjaga gol.
“Kesilapan penjaga gol akan sering dihukum, tidak seperti pemain lain tetapi saya fikir Haziq menunjukkan persembahan yang hebat. Kita tidak boleh salahkan sesiapa untuk keputusan ini.
“Dia berada pada situasi sukar dan melakukan kesilapan. Semua pemain melakukan kesilapan jadi tugas kita adalah untuk memberi sokongan supaya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara ini,” kata Vicente.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia tergelincir di tangga ketiga Kumpulan A, dua mata di belakang Thailand dan Singapura namun beraksi lebih satu perlawanan.
Dalam perkembangan sama, pengendali dari Sepanyol itu tetap optimis dalam perebutan tempat ke separuh akhir Piala AFF 2024 tetapi menuntut anak buahnya supaya dapat meneruskan momentum untuk aksi terakhir berdepan Singapura di laman sendiri, Jumaat ini.
“Selepas aksi menentang Timor Leste, kita tahu yang kita boleh buat lebih baik lagi dan kita tunjukkan bahawa kita mampu memberi saingan kepada Thailand. Sudah tentu kita tidak gembira kerana tewas tetapi kita boleh bangga dengan diri sendiri.
“Ini adalah pertandingan dan peluang masih lagi terbuka untuk kita. Kita perlu teruskan persembahan seperti ini kerana dengan apa yang ditunjukkan hari ini (semalam), saya rasa kita ada peluang (menang) dengan mana-mana pasukan sekalipun,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.