comscore
Tumpuan :
Sukan

Walau terus kemarau gelaran, Aaron-Wooi Yik tidak patah semangat

Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan beri tumpuan kepada kejohanan seterusnya di Terbuka Hong Kong bermula esok.

KUALA LUMPUR: Sekalipun kemarau berterusan namun beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sama sekali tidak berputus asa dengan menyifatkan gelaran sulung di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan ‘tiba’ satu masa nanti.

Semalam, Aaron-Wooi Yik tewas di tangan wakil tuan rumah di pentas final Terbuka China, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 dalam aksi 26 minit namun kekalahan itu bersebab, memandangkan Wooi Yik mengalami demam panas sekali gus tidak dapat beraksi di tahap sebenar.

Justeru itu, beregu di ranking keenam dunia itu sama sekali tidak akan patah semangat dengan kini akan memberi tumpuan kepada kejohanan seterusnya di Terbuka Hong Kong bermula esok.

“Ia satu peluang (di Terbuka China) untuk kami kerana kami mahukan gelaran pertama itu. Kami pernah berada di beberapa pentas final tetapi masih tak dapat. Namun, kami tahu pada satu hari nanti, akan mendapatkannya.

“Cumanya, sekarang ini masanya belum tiba. Apapun, kami masih berasa baik dan sekarang ini perlu bersiap sedia untuk Terbuka Hong Kong,” kata Aaron dalam satu temubual bersama BWF.

Untuk rekod, ia adalah kekalahan kali kelima Aaron-Wooi Yik daripada enam pertemuan di tangan pasangan China itu yang turut mengecewakan mereka pada final Terbuka India, Januari lalu.

Di Terbuka Hong Kong yang berstatus Super 500 esok, Aaron-Wooi Yik dijadual menentang rakan sepasukan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei di pusingan pertama.

Loading...
Terkini