comscore
Tumpuan :
Sukan

Wei Chong-Kai Wun akur bergelar naib juara

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Masters Malaysia selepas tewas pada aksi final, sebentar tadi.

Kebangkitan yang cuba dicetuskan Wei Chong-Kai Wun dengan memenangi set kedua selain dibantu satu mata percuma yang diberikan pengadil di set ketiga gagal membawa mereka merangkul gelaran sulung musim ini.

Pasangan ranking ke-26 dunia itu tewas 15-21, 24-22, 19-21 di tangan Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Wei Chong-Kai Wun diberi satu mata percuma di set ketiga selepas pengadil mendapati Ming Hyuk sengaja melengah-lengahkan masa ketika ketika ketinggalan 7-8 sekali gus memberi mata kesembilan buat pasangan negara.

Aksi set ketiga selepas itu menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga terikat 18-18 sebelum Ming Hyuk-Seo Seung Jae menamatkan permainan dengan kemenangan 21-19.

Kekalahan menyaksikan Wei Chong-Kai Wun gagal menamatkan kemarau kejuaraan beregu lelaki negara saingan Masters Malaysia selepas kali terakhir dimenangi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2013.

Bagaimanapun, pencapaian mara ke pentas final kali ini boleh dianggap suatu permulaan baharu yang positif buat kedua-dua pemain berkenaan selepas dibelenggu masalah kecederaan pada awal tahun ini.

Wei Chong-Kai Wun hanya kembali beraksi dalam kejohanan di Kejohanan Badminton Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan lalu selepas berehat selama hampir tiga bulan susulan kecederaan buku lali dialami Wei Chong.

Pasangan itu selepas ini akan mengalihkan fokus mereka terhadap persiapan bagi menghadapi saingan Terbuka Singapura, minggu depan dengan mereka akan membuka tirai kempen menentang Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman di pusingan pertama.

Terdahulu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut gagal merangkul gelaran juara selepastunduk di tangan beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21.

Loading...
Terkini