comscore
Tumpuan :
Sukan

Wei Chong-Kai Wun ikut jejak Pearly-Thinaah ke perlawanan akhir

FOTO : NSTP

BUKIT JALIL: Beregu badminton lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun meneruskan langkah cemerlang mereka di Masters Malaysia apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin dari Indonesia di separuh akhir, sekaligus semakin hampir merangkul kejuaraan sulung Super 500 mereka.

Mereka yang hadir dari pusingan kelayakan tampil dengan tenaga maksimum ketika mengatasi lawan yang diletakkan sebagai pilihan kelapan.

Wei Chong dan Kai Wun meraih kemenangan pembakar semangat menerusi catatan 21-17 di permainan pertama.

FOTO : NSTP

Set berikutnya lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata dan bertukar-tukar giliran mendahului.

Sorakan ribuan penyokong tuan rumah seakan-akan menggerunkan Carnando dan Marthin membolehkan pemain negara masing-masing berusia 23 tahun itu terus mengasak dan memperoleh mata penting.

Hasilnya, mereka memenangi set kedua 22-20 dan melangkah ke penentuan gelaran menentang Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae dari Korea Selatan esok.

Ia kejayaan ketiga pemain ranking ke-26 dunia itu ke atas pemain terkemuka di Arena Axiata selepas menyingkirkan Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark di pusingan pertama dan jaguh Indonesia Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan di suku akhir.

Loading...
Terkini