comscore
Tumpuan :
Sukan

West Ham sia-sia peluang kejar 4 tempat teratas EPL

Penjaga gol West Ham, Alphonse Areola menyelamatkan percubaan pemain Brighton, Pascal Gross (kanan) pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

LONDON: West Ham terlepas peluang untuk merapatkan diri dengan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Brighton dinafikan kemenangan di Stadium London menerusi ketangkasan penjaga gol Alphonse Areola apabila seri 0-0 awal pagi tadi.

Sekalipun dijejaskan dengan kekurangan pemain pertahanan kerana kecederaan dan penggantungan, The Seagulls bertahan untuk meraih aksi pertama tanpa dibolosi dalam EPL musim ini dan sepatutnya berhak mendapat tiga mata susulan persembahan mengagumkan pada babak kedua.

Brighton yang menguasai 70 peratus permainan hanya dikecewakan penyudah yang kurang tajam di kawasan gol lawan.

Areola perlu berada pada tahap terbaiknya untuk menafikan Danny Welbeck, Joao Pedro, Pascal Gross dan Adam Lallana sekali gus mengekalkan rentetan tanpa kalah The Hammers.

Anak buah David Moyes meraih 10 daripada 12 mata maksimum ketika tempoh perayaan namun masih enam mata ketinggalan di belakang kelompok empat teratas.

Cabaran tuan rumah terjejas berikutan kecederaan Lucas Paqueta dan Mohammed Kudus, yang dinafikan peluang untuk tampil dalam satu lagi perlawanan kelab sebelum Piala Negara-Negara Afrika oleh persekutuan bola sepak Ghana.

James Ward-Prowse menghadirkan percubaan terbaik West Ham yang diselamatkan Jason Steele sebelum rehat.

Satu mata cukup buat Brighton mengatasi Manchester United di tangga ketujuh, namun mereka kekal tiga mata di belakang West Ham yang menghuni tangga keenam. – AGENSI

Loading...
Terkini