comscore
Tumpuan :
Sukan

Yazan Al-Arab harap dapat kembali ke Malaysia

Yazan Al-Arab menyepak pengadil selepas pasukan Selangor seri 1-1 berdepan Terengganu pada saingan Piala Malaysia di Stadium MBPJ pada 24 September 2023.

DOHA: Bekas pemain import Selangor, Yazan Al-Arab berharap dapat kembali beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).

Bek tengah Jordan berusia 27 tahun itu turut berharap agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik balik penggantungan seumur hidup yang dikenakan terhadapnya susulan tindakan menyepak pengadil dalam satu aksi suku akhir tahun lepas.

Yazan yang turut membantu kemenangan 4-0 Jordan mengatasi Malaysia dalam aksi Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 awal pagi tadi berkata, beliau tidak menyimpan dendam sebaliknya berharap skuad Harimau Malaya bangkit dalam perlawanan menentang Bahrain dan Korea Selatan nanti.

Yazan Al-Arab

“Sejujurnya, apa yang berlaku sangat sukar untuk saya. Selepas perlawanan menentang Terengganu itu, tiga  bulan berikutnya amat sulit, momen paling sukar dalam hidup kerana tidak dapat beraksi bersama pasukan kebangsaan dan terlepas sekurang-kurangnya lima aksi antarabangsa.”

“Saya sangat sedih mengenai hukuman penggantungan itu. Saya harap, pada masa depan, mereka (FAM) dapat berikan saya peluang untuk kembali bermain di Malaysia sebab saya sayangkan peminat di Malaysia terutama penyokong Selangor,” katanya.

Yazan yang kini beraksi bersama kelab Iraq, Al Shorta, digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.

Ia susulan tindakannya menyepak pengadil susulan tidak berpuas hati kerana dilayangkan kad merah ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Terengganu di Stadium MBPJ pada 24 September tahun lepas.

“Saya tahu saya melakukan kesalahan…apabila saya menonton video selepas perlawanan, saya katakan ia bukan saya…Saya harap pada masa depan semuanya akan baik sahaja,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini