comscore
Tumpuan :
Sukan

Yew Sin-Ee Yi jangka saingan sengit

KUALA LUMPUR: Sebagai gelanggang pembuka tirai musim baharu 2024, pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin menjangkakan kesemua lawan yang tampil di Terbuka Malaysia minggu depan hadir dengan semangat lebih tinggi.

Justeru dia yang bergandingan bersama Teo Ee Yi, mengambil pendekatan memburu kemenangan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Untuk Terbuka Malaysia, saya tidak meletakkan sasaran dan mengambil pendekatan langkah demi langkah kerana kita perlu sedar yang pemain beregu lelaki ketika ini, tiada mana-mana pun pemain yang boleh mengakui mereka mampu menang sebelum turun ke gelanggang,” kata Yew Sin.

Yew Sin dan Ee Yi dijadual menentang lawan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan pertama iaitu pertembungan yang kelapan antara mereka sejak 2017.

Pertemuan kali terakhir adalah di Masters Malaysia tahun lalu yang menyaksikan Yew Sin-Ee Yi meraih kemenangan 15-21, 21-12, 21-19 sekali gus menjadikan rekod kemenangan memihak kepada mereka dengan 4-3.

Yew Sin mengakui dirinya memperoleh tempoh rehat mencukupi manakala Ee Yi juga berpeluang menjalani rawatan pemulihan susulan kecederaan tulang belakang dialami di Kumamoto Masters Jepun pada November lalu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Yew Sin-Ee Yi di Jelajah Dunia BWF adalah berada di pentas separuh akhir iaitu di Masters Jepun, Terbuka Taiwan dan Terbuka Switzerland.

Terbuka Malaysia tahun lalu, gandingan ke-12 dunia itu tersekat di suku akhir  apabila tewas di tangan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 16-21, 17-21.

Loading...
Terkini