comscore
Tumpuan :
Sukan

Yew Sin, Ee Yi tewas di final Terbuka Australia

FOTO: Persatuan Badminton Malaysia / Facebook

SYDNEY: Hasrat beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk merangkul gelaran Terbuka Australia, hari ini tidak menjadi kenyataan.

Pada aksi final di State Sports Centre itu, gandingan negara tewas 16-21, 20-22 kepada wakil China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dalam tempoh 44 minit.

Mereka dilihat bergelut untuk menyaingi lawan di set pertama sebelum bangkit dengan persembahan lebih baik pada set kedua, namun gagal bagi sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Ia adalah pentas final pertama buat Yew Sin-Ee Yi dalam siri Jelajah Dunia BWF tahun ini dan dengan kekalahan itu juga menyaksikan rekod pertemuan dua pasangan itu memihak kepada gandingan China yang menang dua daripada tiga pertarungan mereka.

Malah, kekalahan itu juga meranapkan impian gandingan Yew Sin-Ee Yi yang berada di kedudukan kelapan dunia untuk menamatkan penantian dua tahun tanpa sebarang kejuaraan.

Mereka kali terakhir merangkul kejuaran kali ketika Masters Thailand pada Januari 2020 dengan mengatasi cabaran Huang Kai Xiang-Liu Cheng 18-21, 21-17.

Yew Sin-Ee Yi seterusnya dijangka bersaing dalam Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual berlangsung di Bangkok dari 7 hingga 11 Disember ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini