comscore
Tumpuan :
Sukan

Young Tigers kempunan ke final

Foto : MHC / Facebook

Oleh: Fariz Zolkarnain

PETALING JAYA: Hasrat skuad hoki remaja lelaki kebangsaan untuk melangkah ke pentas final Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman tidak kesampaian apabila tewas 2-6 kepada Pakistan, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Young Tigers akan beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Korea Selatan, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Kompleks Belia Sultan Qaboos, skuad kendalian Muhammad Amin Rahim terlebih dahulu di depan menerusi pukulan sudut penalti T. Perabu pada minit ke-21.

Minit ke-42, giliran Pakistan mendahului dua gol melalui pukulan sudut penalti Mohammad Khan dan gol padang Abdul Rehman, dua minit berselang.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar menyamakan kedudukan menerusi gol padang, minit ke-45.

Terikat dua sama, penguasaan penuh disajikan Pakistan di suku terakhir.

Ia menyaksikan juara tiga kali itu menambah empat lagi gol hasil penyudah Abdul Shahid (minit ke-47), Abdul Rehman (minit ke-48 dan 51) serta Ahmad Arbaz (minit ke-58).

Pakistan akan beraksi di pentas final menentang India.

India layak selepas membelasah Korea Selatan 9-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Loading...
Terkini