KUALA LUMPUR: Jurulatih Young Tigers, I Vikneswaran menyifatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terhadap anak buahnya pada Kejohanan Hoki Remaja Asia di Muscat, Oman bulan depan adalah realistik.
Menurut Vikneswaran, sekalipun kejohanan itu hanya berbaki sekitar sebulan saja lagi, cabaran yang dilontarkan badan induk itu untuk mengisi slot empat terbaik mampu dicapai terutama berpandukan kepada keupayaan barisan pemainnya.
Selepas kerap dikritik beraksi di kejohanan tanpa sasaran spesifik, skuad Young Tigers yang menamatkan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 baru-baru ini di tangga tercorot, semalam diberikan tanda aras untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir pada aksi di Oman oleh Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.
Begitupun tegas Vikneswaran, bagi merealisasikan sasaran itu, anak buahnya perlu terus ‘diasah’ kemampuannya termasuk menjadikan kesilapan bertemu pasukan-pasukan antara terkuat dunia di SOJC sebagai pengajaran.
“Saya percaya berdasarkan kemampuan pemain yang ditunjukkan ketika di SOJC baru-baru ini, sasaran empat terbaik yang ditetapkan olej KHM adalah realistik,” kata Vikneswaran ketika dihubungi.
“SOJC memberikan pemain-pemain saya pengalaman yang berharga kerana mereka dapat bersaing dengan pasukan bertaraf dunia termasuk pemain kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Ramai di antara pemain saya beraksi buat kali pertama di SOJC jadi mereka tiada pengalaman sebelum ini. Malah pasukan itu juga dipersiapkan dalam tempoh singkat jadi SOJC bagus buat mereka untuk menonjolkan keupayaan di pentas antarabangsa.”
Kejohanan Hoki Remaja Asia yang dijadual bermula dari 26 November hingga 4 Disember ini menampilkan 10 pasukan dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China, Oman dan Bangladesh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.