KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa mengerah segala keringat untuk mengatasi rakan senegara Justin Hoh sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.
Berdepan Justin yang mara menerusi tiket kelayakan, Zii Jia yang juga pilihan kelima kejohanan memerlukan aksi tiga set sebelum menang dalam perlawanan yang berlangsung selama 62 minit.
Selepas menang set pertama 21-16, pemain ranking tujuh dunia itu tewas 12-21 pada set kedua sebelum bangkit memenangi set ketiga 21-17 menentang Justin yang mengisi ranking 49 dunia.
Dalam perlawanan berkenaan, Justin, 20, tampak seperti keletihan dan melakukan banyak kesilapan tidak sepatutnya selepas perlu mengharungi dua perlawanan kelayakan sebelum menempah aksi dengan Zii Jia.
Bagi Zii Jia, kemenangan penting buatnya dalam pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 dalam usaha mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan depan.
Menghuni kedudukan keenam dalam pemburuan tempat ke Hangzhou, tiada lagi kesilapan boleh dilakukan Zii Jia yang ketika ini memiliki kelebihan tipis selepas mengumpul keseluruhan 69,900 mata, di hadapan dua pemain Jepun, Koki Watanabe (67,530) dan Kenta Nishimoto (65,780).
Sebagai rekod, hanya tujuh pemain terbaik layak untuk beraksi di Hangzhou selepas pemain Denmark, Viktor Axelsen mengesahkan tiketnya sebagai juara Olimpik 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.