comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia gagal lepasi suku akhir Terbuka India

Lee Zii Jia akur kehebatan Kodai Naraoka pada suku akhir Terbuka India dengan kekalahan 21-13, 9-21, 16-21.- Foto ihsan BAM

PETALING JAYA: Cabaran tunggal perseorangan lelaki negara pada saingan Badminton Terbuka India di New Delhi berakhir, selepas tumbangnya Lee Zii Jia pada aksi suku akhir sebentar tadi.

Zii Jia tewas kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka menerusi pertarungan tiga set yang berlarutan 1 jam 18 minit.

Set pertama, Zii Jia menampilkan aksi yang meyakinkan, menang 21-13 dalam tempoh 26 minit.

Namun beliau gagal meneruskan rentak penguasaan, malah melakukan beberapa kesilapan, membolehkan Naraoka bangkit mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan mudah 21-9.

Naraoka yang menduduki ranking ke-6 dunia dan diletakkan pilihan ke-2 kejohanan kembali dicabar hebat Zii Jia pada set penentuan.

Malah ketika ketinggalan 14-18, Zii Jia berjaya merapatkan kedudukan 18-16.

Menyedari kebangkitan yang cuba dilakukan Zii Jia, Naraoka segera memperkemas permainan dan menamatkan set penentuan 21-16.

Naraoka kini menanti pemenang di antara pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia untuk pertemuan separuh akhir esok.

Loading...
Terkini