comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia kini nombor tiga terbaik dunia

Pemain profesional negara, Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia membuktikan masih dalam kalangan pemain handalan dunia apabila berada dalam kelompok tiga terbaik dunia berdasarkan kemaskini terbaharu ranking dunia dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Berdasarkan kepada kedudukan terkini, Zii Jia naik satu tangga untuk menghuni ranking nombor tiga dunia. Kali terakhir pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berada dalam kelompok tiga terbaik adalah pada 18 Januari tahun lalu yang menyaksikan dia menghuni nombor dua dunia iaitu ranking terbaik dalam kerjayanya.

Meskipun tidak beraksi dalam kejohanan sejak tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun dua minggu lalu, kedudukan ranking Zii Jia naik disebabkan pemain Indonesia, Jonatan Christie kehilangan mata susulan pencapaian separuh akhir Terbuka China tahun lalu yang berlangsung pada minggu ke-36 dan kini  jatuh dari tangga ketiga ke kedudukan tujuh dunia.

Pemain China, Shi Yuqi kekal sebagai pemain nombor satu dunia manakala juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen di tempat kedua.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sejak Februari lalu selepas dua kali jalani pembedahan jatuh tiga anak tangga di kedudukan ke-25 dunia.

Bagaimanapun, dengan Tze Yong memperoleh perlindungan ranking, dia tidak berdepan masalah untuk kembali beraksi dalam kejohanan utama berdasarkan kedudukan ranking terakhirnya di tangga ke-18.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik jatuh daripada nombor tiga dunia ke kedudukan kelima.

Begitupun beregu lelaki kekal acara terbaik buat Malaysia apabila empat pasangan dalam kedudukan 20 terbaik dunia.

Tiga lagi gandingan iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang kini bergerak secara profesional di kedudukan ke-12, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (17) dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri (19).

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing kekal kedudukan nombor lapan dan sembilan dunia mamakala perseorangan wanita, Goh Jin Wei jatuh daripada kedudukan ke-31 ke 33 dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini